Rabu, 7 Januari 2009

Bekalan darah jenis 'O' kurang

Tabung Darah Negara mengalami kekurangan darah jenis 'O' sejak Disember lepas, kata Ketua Kempen Derma Darah Pusat Darah Negara (PDN), Dr. C. Chitra.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menerusi Unit Bergerak PDN kini giat menjalankan kempen derma darah di kawasan Lembah Klang bagi meningkatkan kembali bekalan darah jenis itu.

''PDN mengalami kekurangan darah sejak Disember tahun lepas dan pada tahun ini, PDN akan menggiatkan kempen derma darah bagi memastikan bekalan darah di PDN mencukupi.

''Orang ramai juga dirayu menderma darah mereka bagi menampung bekalan itu,'' katanya ketika ditemui pada kempen derma darah di sebuah pasar raya terkemuka di sini hari ini.

Selain itu, katanya lagi, PDN perlu memastikan bekalan darah mencukupi untuk diedarkan ke hospital-hospital kerajaan dan swasta di Lembah Klang.

''Tahun lepas, PDN sudah menjalankan kempen, tetapi bermula cuti Disember tahun lepas, kempen yang dijalankan kurang mendapat sambutan daripada orang ramai.

''Jadi, bermula awal bulan ini, PDN akan menggiatkan kempen derma darah ini dan untuk makluman orang ramai setiap hari PDN menjalankan kempen ini di lokasi berbeza sekitar Lembah Klang," katanya

Menurut Dr. Chitra, kempen derma darah itu kini diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dan akan berakhir esok.

Selain itu, beliau berkata, Unit Bergerak PDN juga hari ini berada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi untuk selama lima hari bagi menjalankan kempen itu.